Tuesday 2 September 2014

Himmah Aliyah (Semangat Yang Tinggi)

                     

                        "Ada orang yang cepat masuk ke saf tetapi cepat pula meninggalkannya"

Dalam gerabak dakwah dan tarbiyyah, nilai ukhuwwah itulah buah keimanan dalam jiwa individu muslim. Tatkala ramai yang menghulurkan tangan untuk keluar daripada jahiliyyah ini, tidak ramai pula yang menghulurkan tangan untuk menarik mereka.

Pada permulaan, kita mungkin semangat untuk membawa dakwah ini. Himmah aliyah kita manifestasikan dalam diri. Namun, dakwah tidak menjanjikan keindahan dan kemudahan. Percayalah, dakwah ini adalah tugas paling sukar. Kalau mudah, pasti ramai yang berpartisipasi dan berganding bahu untuk menjayakannya. Kerana tugas ini sukarlah, ramai yang kecundang atau futur di pertengahan jalan.

Nabi Nuh berdakwah bukan 10 hingga 20 tahun malahan memakan masa lebih daripada itu. Nabi Muhammad juga berdakwah dengan tentangan yang begitu hebat termasuklah tentangan daripada bapa saudaranya. Cinta terhadap dakwah ini bukan hanya termaktub melalui lisan bahkan dakwah ini memerlukan hati, jiwa , pemikiran juga perbuatan dan menuntut pengorbanan seorang insan bergelar da'ie.

Kita bersendirian kita tak akan mampu. Maka, ukhuwwah inilah yang akan menguatkan gerabak dakwah ini. Yang akan menguatkan saf ini. Ketahuilah ikhwah dan akhawat itu adalah manusia seperti orang lain. Yang ada masanya dia akan tinggi semangat dan adakalanya adalah sebaliknya.

Maka ketahuilah betapa tingginya nilai istiqamah dalam membentuk himmah (semangat) dan keazaman. Juga pentingnya kebersamaan antara ikhwah dalam memantapkan safnya. Siapakah pemilik dakwah ini? Allah azza wa jalla adalah pemiliknya. Maka berbuatlah untuk Dia agar kuat hati ini terus melangkah tatkala banyak langkah yang mula goyah untuk meneruskan misi dakwah dan tarbiyyah.

Kita tidak kuat tetapi ketahuilah ikhwah dan akhawat, kita ada Allah al-Qowiy yang menguatkan kita. Allah al-Hadi yang memberi petunjuk buat kita tatkala kita buntu. Yang mengubati luka dalam hati yang menyembuhkan kesakitan dengan rahmat dan kasih sayangNya.

Saat ini, kaum Muslimin mulai bangkit dari tidur panjang yang membuat mereka lupa pada agamanya. Mereka memiliki keinginan untuk kembali bersandar pada agama ini. Semangat keislaman mereka mulai tumbuh dan mulai bergelora seiring dengan perjuangan dakwah.

Oleh sebab itu, para da'ie , murabbi, mahupun pemimpin cerdas yang memiliki cita-cita untuk mengembalikan kejayaan dan kemuliaan umat ini , harus segera meraih tangan-tangan mereka dan membimbingnya ke jalan Islam.                (Petikan daripada buku Kekuatan Sang Murabbi)

Ayuh, kita perbaharui himmah dan mara bersama. Moga bertemu di syurgaNya.




0 comments :

Post a Comment

 

i-Imtinan Copyright © 2014 Designed by Alieff Artwork