Friday 9 January 2015

Da'ie Tak Sempurna




Semester ini begitu mengujakan dan menakutkan hampir untuk setiap hari. Dia rasa tidak betah lagi, rasa hati ingin dan mahu pergi. Tangannya melihat tugasan kuliah yang hampir siap namun belum siap sepenuhnya. Dia mahu siapkan dengan penuh kefahaman. Tetapi dia tak mampu kerana dia tak faham.

Dia terus memaksa diri namun tak bisa. Hatinya menangis. Bagaimana mungkin dia boleh menyiapkan tugasan itu tanpa kefahaman terhadap isinya. Jam sudah menunjukkan tepat jam 2 petang. Sepatutnya dia menghantar tugasan itu sekarang di pejabat pensyarahnya. Bunyi signal wassup yang masuk tak dipedulikan. Tanganya pantas menyemak nota pelajaran dan kamus beberapa kali.

Jam sudah menunjukkan jam 2.30 petang. Dia kelelahan. Tetap hati terus menangis kerana merasakan amat mustahil untuk menyiapkan tugasan itu. Khilaf dirinya juga yang tak cakna untuk menyiapkan lebih awal. Pantas dia menyusun buku-buku dan helaian kertas yang berselerakan. Umpama perasaannya yang berselerak saat itu juga.

Dalam hatinya berdetak untuk meninggalkan semua selepas ini. Ingin berhenti. Tak mahu lagi berpatisipasi dengan apa-apa lagi. Dakwah dan tarbiyyah ...tak mahu lagi.

Arghh!!!

Serba salah dan berperang. Tekad. MAHU berhenti. Kakinya pantas meninggalkan ruangan kamar menuju ke fakulti dengan seribu satu rasa.

Dari jauh kelihatan ramai yang sudah beratur dari luar pejabat. Pensyarah memeriksa latihan yang diberi setiap seorang pelajarnya.

Gulp!

Dia menelan air liur. Bimbang tatkala menyedari dia belum lagi menyiapkan tugasan itu seratus peratus. Ada yang berkumpul di luar dan salin menyalin jawapan antara satu sama lain.

Hatinya kalut namun tak ingin melakukan sedemikian. Itu prinsipnya. Tak boleh meniru meski hanya untuk tugasan kuliah. Dia tidak mahu merobohkan apa yang diyakini sejak dahulu lagi. Sementara menunggu yang lain, kakinya melangkah ke satu sudut.

Bersendirian.

Terus berusaha menyiapkan tugasan itu. Tidak dipedulikan yang lain. Tetapi gagal kerana soalan yang dia tak mampu jawab itu dia belum memahami dengan baik. Ulangkaji untuk topik itu juga belum. Dia menutup kamus yang dipegangnya.

Dia sudah tak larat lagi untuk memikirkan. Lantas dipaksa kakinya untuk terus menghantar kepada pensyarahnya. Dia menapak masuk pejabat yang sederhana luas dan kelihatan beberapa pelajar lagi sedang menunggu giliran. Dia memerhatikan dari dekat. Pensyarahnya tekun menanda dan memeriksa. Hatinya takut. Tidak! Dia perlu menyiapkan tugasan itu. MESTI!

Dia duduk di luar pejabat. Berperang dengan perasaan untuk meniru jawapan daripada pelajar yang lain atau tidak. Lantas dia meminta kertas kawan sekelasnya yang sudah ditanda oleh pensyarah dengan niat mahu melihat jawapannya. Dia melihat satu persatu.

"Kalau tidak siap, tak mengapa. Tunjuk sahaja yang mana dah disiapkan."

Tenang suara itu memberitahu.

Dia terdiam.

Ruangan luar pejabat makin sunyi. Semua sudah menunggu dalam pejabat. Hanya dia masih bungkam di luar. Sendirian. Dia tunduk kemudian mendongakkan kepala. Mencari kekuatan.

Akhirnya mengambil keputusan. Ya, dia akan hantar yang mana dah berjaya dia siapkan sahaja.

Kelihatan pelajar daripada kelas subjek yang lain juga sudah menunggu. Pasti hari ini, hari penandaan tugasan subjek. Kalau tidak masakan seramai ini beratur di ruangan pejabat.

Dia masuk dengan rasa yang sukar ditebak.

"Adeh..tenanglah duhai hati!"

Dia beratur di belakang pelajar itu. Bukan sama jantina dengannya.

Tinggal mereka berdua saja pelajar subjek itu yang ada. Pelajar yang lain semua merupakan pelajar pensyarah cuma subjek yang berbeza.

"Ustaz nak semak siapa dahulu ni?"

Ustaz bertanya apabila melihat mereka berdua sahaja yang tinggal untuk semakan subjek bahasa.

Lelaki itu menunjukkan arah pada gadis itu. Dia terkesima kerana hakikatnya dia yang terakhir menunggu untuk semakan subjek itu.

"Apa tunjuk pada dia.Ustaz nak semak awak dahulu."

Ustaz mengambil kertas lelaki itu.

Kata-kata ustaz membuat dia tersenyum. Itulah dia pensyarah yang dia kenal.

Ustaz kelihatan serius menanda.

"Awak kena usaha lebih lagi ni."

Dia cuma memerhati dan mendengar butiran kata-kata Ustaz buat lelaki itu. Namun hatinya berdetak kencang. Risau tentang penerimaan ustaz terhadap tugasannya.

Beberapa pelajar bagi subjek lain menapaki ruangan itu.

"Ya ukhti."

Ustaz  memanggil dia.

Dia tersenyum. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Pantas tangan menghulurkan kumpulan tugasan yang berjaya disiapkan. Berhati-hati dia meletakkan atas meja pejabat. Dia berdiri. Tak mahu duduk meski ada dua kerusi yang disediakn

Ustaz melihat kemudian anehnya tatkala Ustaz tidak mengambil tugasannya untuk diperiksa. Tangannya ligat memeriksa borang yang lain.

"Peperiksaan pertengahan awak baik."

Dia terdiam. Tiba-tiba sahaja Ustaz berkata tentang peperiksaan pertengahan semester yang sudah berlalu.

Pantas tangan Ustaz menulis markah untuk tugasannya dalam satu kertas lain sedangkan Ustaz belum lagi melihat hasil tugasan itu. Dia melihat aturan markah yang berderet tapi dia tak berminat ingin tahu empunya markah. Di sebelah namanya, Ustaz mencatat markah. Dia tak melihat catatan markah itu. TAKUT!

"Ustaz yakin pada awak."

Dia tergamam melihat Ustaz. Dalam makna kata-kata itu baginya.

Kawan-kawan lain tercengang. Masakan tidak. Kertas dia satu-satunya terkecuali daripada semakan Ustza. Pelajar sebelum ini tidak terlepas satupun daripada pemeriksaan Ustaz.

Dia menapak keluar. Di kawasan tangga , dia terduduk. Menangis dan mengerti bahawa Allah sedang memujuknya. Kertas tugasan itu dipegang erat.

"Aku tak akan berhenti. Aku akan terus berada atas jalan ini!"

Hatinya berteriak kuat seakan-akan mahu pecah.

Kebanyakan kawannya tidak masuk kelas petang itu. Mahu menghantar tugasan. Dia menggeleng-geleng kepala kerana menyangka dia yang paling lewat menghantar tugasan. Terbayang kelam-kabutnya dia sepanjang waktu tadi.

Malam itu, dia mimpi bertemu arwah neneknya. Gambaran dalam mimpi seperti di hospital sewaktu nenek sakit.

Nenek menyentuh pipinya. Dia terasa ingin menangis. Rindukan neneknya.

"Bertenanglah..."

Ringkas ucapan itu.

 Seketika dia tersedar daripada mimpinya.

Seakan-akan terasa sentuhan nenek di pipinya. Air matanya mengalir.  Sebelum nenek meninggal, nenek ada terkena strok dan membuatnya lumpuh dan tak boleh bercakap.

Mimpi tadi seakan-akan mengubat rindu pada nenek apabila mendengar nasihatnya meskipun bukan di alam realiti.

'Benar, aku perlu bertenang."

Dia monolog . Hening sekali awal pagi itu.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Ar-Ra’d 13:28)

Wahai diri, ingatilah Allah sebanyak-banyaknya.

Jalan warisan nabi ini, bukan hanya untuk mereka yang manja dan mudah mengalah. Jalan ini jalan mujahadah.

Dia teringat kata-kata seorang mak cik. Kadang-kala apabila orang bersama kita dahulu sudah tidak lagi bersama kita atas jalan ini sekarang , bukan kerana lemah imannya tetapi nak menunjukkan bahawa dugaan kehidupan ini sungguh mencabar.

Kalau sedikit sudah goyah bagaimana diri mampu menempuh halangan lebih besar.

"Allah, bantu aku!"

Dia memejam mata rapat-rapat. Mencari kedamaian. Dalam hati.

Dia ingin terus berada atas jalan ini. Jalan tarbiyyah dan dakwah. TAK MAHU berhenti...






 

i-Imtinan Copyright © 2014 Designed by Alieff Artwork