Sunday 13 April 2014

Aku Seorang Doktor

Face the reality...
“Awak seorang doktor?”

“Ya, saya.” Gadis itu memandang dengan kelihatan agak takut-takut. Baru beberapa bulan dia bertugas sebagai doktor secara rasmi dalam wad itu. Tak pernah pula gadis itu melihat kehadiran wanita yang agak berusia di hadapannya saat ini.

“Kenapa awak memberi harapan yang mustahil pada pesakit tu?” Pandangan wanita berusia itu tertuju pada seorang pesakit warga emas yang berada di hujung sekali dalam wad itu.

Gadis itu bertambah terpinga-pinga.

“Maaf, tapi saya tak faham. Saya cuma beri kata semangat dan dorongan untuk dia terus kuat dan supaya dia juga tak lupa mengambil ubat.”

“Okey, awak tahu keadaan penyakit dia?”

“Ya,final stage.” Ringkas jawapan gadis itu.

My dear, seorang doktor yang sebenar bukan hanya merawat pesakit tetapi juga merawat hati pesakit.”

“Salah ke cara saya tadi?” Gadis itu bersuara. Kedengaran nadanya kegeraman tatkala caranya dipertikaikan.

“Awak tahu keadaan dia dan awak perlu memberitahu dia keadaan dia yang sebenarnya. Memang ubat dia perlu ambil tapi hakikatnya awak tahu yang dia tak ada masa yang lama untuk bertahan. Kondisi dia juga tidak memungkinkan dia untuk menjalani pembedahan.”

“Jadi, Puan rasa apa cara terbaik yang saya boleh lakukan?” Gadis itu terasa tercabar. Tiba-tiba pula pagi ini diterjah dengan kehadiran wanita itu.

Tell him the truth supaya dia tidak bergantung pada harapan kosong. Memang betul, ajal dan maut bukan urusan kita tetapi sebagai doktor, keadaan sebenar pesakit perlu dimaklumkan.”

Wanita itu menambah lagi.

“Kuatkan semangat dia untuk menghadapi kematian. Bimbing dia bukan hanya dengan memberi ingatan untuk makan ubat tetapi juga bimbing untuk menghadapi realiti kehidupan bahawa setiap kita akan kembali pada Pencipta. Percaya atau tidak pesakit itu akan lebih tenang walaupun pada awalnya mungkin dia sukar untuk menerima.”

Gadis itu melepaskan nafas perlahan-lahan. Dia mula menerima kata-kata wanita itu.

“I wish you all the best!” Wanita berusia itu berkata ringkas sebelum berlalu meninggalkan wad itu.

Gadis yang sudah bergelar doktor muda itu tidak sempat berkata apa-apa tatkala bayangan wanita berusia itu mula menghilang.

Fikirannya cuba memahami dengan lebih baik terhadap apa yang disampaikan. Terasa khilaf seketika.

“Termenung jauh nampak.” Satu suara muncul dari arah kanannya. Lantas dia mencari empunya suara.

“Mana ada. Banyak kerja lagi belum selesai, inikan pula nak termenung jauh.”

“Naimah, Dr Rufaidah share apa dengan engkau tadi?” Dr Nu’man bertanya.

“Engkau kenal ke wanita tadi?”

“Tak pernah nampak pun Dr tu sebelum ni. Tak tahu pula dia pun doktor juga.” Dr Naimah mengerutkan wajah.

“Sebelum ni, Dr Rafidah Head untuk wad 5C, tapi minggu lepas aku dimaklumkan dia tukar ke wad kita.”

“Patutlah…” Dr Naimah menambah.

By the way, she so straight but actually she really a concern and care person.”

“Mana engkau tahu pasal Dr Rufaidah?”

“Dr Rufaidah ni famous kat hospital kita ni. Engkau saja yang tak tahu.”

“Aku baru masuk dan tengah nak adapt dengan wad ni. Mana aku tahu-menahu pasal doktor-doktor yang terkenal dalam hospital ni.” Dr Naimah berkata sambil matanya memerhati suasana wad yang agak sunyi pagi itu.

“Yalah tu. Eh, aku tak siap lagi laporan. Aku gerak dulu.” Dr Nu’man beransur pergi meninggalkan ruangan itu.

Dr Naimah memerhati Pak Cik Shakir dari jauh. Langkah mula diatur. Hatinya membenarkan apa yang diperkatakan Dr. Rufaidah tadi.

“Assalamualaikum pak cik.”

“Oh, Dr Naimah. Pak cik dah makan ubat tadi. Jangan risau ya.” Pak Cik Syakir kembali termenung.

“Pak cik. Kalau saya share dengan pak cik something, pakcik nak dengar?”

Warga emas itu mengangguk.

Lantas doktor muda itu menceritakan perihal tentang kondisi Pak Cik Shakir yang sebenar.

“Terima kasih Dr Naimah.”Sekilas terlihat mata Pak Cik Shakir bergenang beberapa detik kemudian. Mungkin menahan perasaan.

“Doktor, doakan pak cik kuat ya.” Ujarnya sebelum kembali membuang pandang ke luar jendela.

“Saya selalu doakan untuk pak cik.” Dr Naimah memandang sayu.

Pak Cik Shakir tidak mempunyai saudara –mara dan dia juga tidak pernah berkahwin. Sepangjang masa hidupnya banyak dihabiskan di rumah perlindungan orang-orang tua.

“Ya Allah kuatkan juga diriku.” Dr Naimah berdoa dalam hatinya. Dalam-dalam.

Kakinya menapak ke ruang meja di hadapan. Banyak lagi laporan yang perlu diselesaikan. Malam tadi dia sempat berehat dalam setengah jam sahaja. Tapi itu sudah menjadi kebiasaan buat dirinya. Sebentar lagi dia sudah boleh pulang kerana shiftnya  bermula malam sehingga awal pagi.

Malam itu, Dr Naimah mendapati seorang pesakit baru di bawa masuk.

“Eh, sekejap. Bukan wad ni dah penuh ke?” Doktor muda itu bertanya kepada jururawat yang bertugas.

“Asalnya memang dah penuh Dr Naimah tapi petang tadi ada seorang pesakit dilaporkan meninggal dunia.” 

Jururawat itu menerangkan.

Hati doktor muda itu berdetak cemas. Tiba-tiba.

“Boleh saya tahu siapa?”

“Oh, pak cik yang duduk di hujung wad. Kalau tak silap, Pak Cik Shakir namanya.”

Luluh hati Dr Naimah mendengarnya.

Perlahan-lahan dia menuju ke ruang hujung wad itu. Ruangan itu kini dihuni oleh pesakit lain.

Lantas terbayang kata-kata terakhir lelaki itu.

“Doktor, doakan saya kuat ya.”

Dr Naimah menarik nafas dan melepaskan perlahan-lahan.

“Allahu…” Bibirnya tak terlafaz ungkapan selanjutnya.

Kaki yang mulanya agak longlai mula melangkah padu. Terngiang-ngiang kata Dr Rufaidah.

The real doctor, bukan setakat mengubati pesakit tetapi juga mengubati hati pesakit.”

Dr Naimah sedar saat itu dan mula bertekad untuk menjalankan amanah sebagai doktor dengan lebih baik. Kini,  dia sedar bahawa betapa bermaknanya tugas sebagai seorang doktor. Bukan hanya ubat jasad tetapi juga ubat hati.

Wad malam itu kelihatan seperti biasa cuma rasa kehilangan itu mewujudkan perasaan yang berbeza. Dr Naimah yakin perjalanan baru bermula. Ya, dia perlu kuat.

“Ya Allah ajari aku, menjadi manusia yang sedar akan hakikat kehidupan sebenar.” Doa doktor muda itu dalam hati.







Saturday 5 April 2014

Sesuatu Yang Aku Percaya


Sesuatu yang Aku percaya

Aku bukanlah dalam kategori perempuan yang bertudung labuh dan yang ikut usrah di menara gading ni. Sedari dari aku sekolah menengah pernah juga terlintas untk menjadi perempuan seperti mereka itu tetapi entah mengapa aku diselubungi rasa segan tatkala melihat diri sendiri. Banyak aib yang tersimpan. Ish!

“Ada orang cakap kalau betul-betul kita ada niat nak jadi baik, pasti Allah akan tunjukkan jalan.”

                Betul atau tidak statement itu memang aku tak tahu sehingga sampai satu saat aku sendiri diterpa dengan kehadiran dia. Dia bukanlah tentang putera idaman hati, bukan juga Majnun yang dicari, tetapi dia itu seorang ukhti yang mengajar aku mengenali diri dan Allah. Pertama kali pertemuan itu sungguh aku tak pernah lupa hingga saat ini.

Pertemuan dalam bulatan gembira itu bermula dengan perkhidmatan pesanan ringkas yang aku terima. Aku rasa aku ni gila agaknya apabila aku boleh gerakkan kaki untuk terima pelawaan ke usrah itu. Tetapi perasaan waktu itu sukar untuk ditebak, aku rasa diri aku antara pertengahan normal dan tidak. Yang paling tidak dapat ditahan, hati ini akhirnya berkehendak untuk melangkah juga ke usrah itu.

Siapa kata nak membentuk manusia ke arah manusia yang kenal Allah itu satu perkara yang mudah. Setahun, dua tahun, mungkin juga makan masa bertahun-tahun belum tentu menjamin manusia itu mampu dibentuk. Sama juga dengan aku. Aku, perempuan yang keras kepala, susah nak terima nasihat daripada orang lain, dan yang paling susah adalah aku seorang yang susah nak mengubah sesuatu yang bukan kebiasaan dalam hidup.

Aku sendiri pun tak dapat bayang apabila kebaikan itu datang dan hal itu akan mengubah kebiasaan aku yang kurang baik yang aku sangat susah untuk lepaskan. Aduhai!

“Rahmat Allah itu luas, dan Allah tak pernah tutup rahmat pada hambaNya meski hamba itu dahulu jauh dari Dia.” Ukhti itu berkata dengan lontaran makna yang mendalam.

Aku sentap. Perkataan jauh itu buat aku rasa kerdill. Aku memang pernah belajar islam, solat dan semua itu tetapi aku tidak pernah memahaminya.Tahu semua itu tetapi tidak sedar dan tidak faham. Lantas selepas zaman sekolah, tikar sembahyang juga entah terbang ke mana pun aku tak tahu. Pergerakan dan bacaan solat aku hafal namun itu semua hanya di bibir dan perbuatan sahaja. Hati aku benar-benar tidak tersentuh dengannya.

Bermula dengan usrah itu, aku mula berlatih kembali untuk memahami apa yang selama ini aku lakukan.
“Amalan dan ibadah seharian untuk siapa?”
“ Tujuan aku ke mana?”
“Apa fungsi aku dalam dunia?”

Aku mula tersentuh untuk terus berada dalam bulatan gembira ini. Dan sungguh cabaran dengan manusia adalah kebiasaan yang harus ditempuhi. Aku mula buat perangai lama. Usrah yang aku ikuti aku tinggalkan atas alasan malas dan entah apa-apa lagi alasan. Dan jahiliah itu kembali terpalit dalam jiwa. Namun, satu saat aku rasa sesuatu yang tak best! Aku rasa seronok tetapi jujurnya aku tak merasa bahagia. Apakah?

“Aku rasa dalaman aku kosong sangat meski kuliah dan tugasan sangat padat!”
“Aku rasa semua benda susah walhal tak ada apa sangat pun!”
“Aku rasa nak terjun bangunan sekarang!”

Waktu itu, aku rasa mudah sangat putus asa, tak bersemangat dan hopeless yang teramat sangat. Dan finally

Arghh, I wanna read Quran again!”

Yeah, the most memorable apabila aku buka dan baca satu ayat,

“ Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun dosa-dosa mereka-dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya). Orang-orang yang sedemikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi mereka yang beramal” (Surah Ali-Imran :135-136)”

“I wanna join usrah back!!!”
Jiwa aku bergetar deras.

Dalam usrah, ukhti itu yang merangkap sebagai naqibah aku tak pernah jemu. Nasihat dan bimbingan tauhid dalam jiwa untuk faham dan sedar serta mula beramal dengan yakin itu sentiasa ditekankan.

“Allah!”

Itulah saat paling berharga yang aku mula kenal Allah dalam usrah. Ya, aku boleh saja dapatkan pengetahuan dan kesedaran daripada mana-mana majlis ilmu namun, hal itu tak sama kalau dalam usrah. Aku boleh curhat (curahan hati) pasal masalah tentang pelbagai perkara yang kadang-kala aku sukar untuk faham dengan lebih dekat dalam usrah. Sama-sama saling berbincang dan mengisi ruh yang sering dan mudah kontang tanpa pengisian dan amal.

Aku perempuan yang boleh dikategorikan sebagai sangat pentingkan diri. Dalam usrah, aku mula belajar untuk ambil berat pada orang lain. Aku juga kedekut. Dalam usrah ni aku mula belajar untuk berkongsi dengan orang lain. Dan paling penting aku juga jahil, dalam usrah aku mula belajar untuk bangkit dari kejahilan itu. Sungguh kejahilan itu buat aku hilang arah.

Tatkala aku mula melangkah sekali lagi dalam usrah, tiada pun satu pandangan sinis, atau lontaran yang buat aku tidak selesa. Semua wajah memandangku dengan satu pandangan yang sangat membahagiakan. Sukar untuk aku ungkapkan.

Aku masih ingat waktu itu, hanya ada kami berdua. Aku dan ukhti. Lepas sekian lama aku tidak berjumpa dengannya kerana aku sendiri yang menjauhkan diri.

“Akak selalu tunggu awak setiap kali usrah. Alhamdulillah Allah memakbulkan harapan akak.”

“Tetapi, akak tak kisah walau di mana saja awak berada, yang penting kebaikan itu selalu bersama dan seiring sejalan dengan awak.”

Aku diam. Aku memang lambat sikit kalau nak respon dalam perbualan.
Kalau di rumah, ibu selalu cakap aku ni nampak saja macam tak dengar apabila orang cakap atau nasihat tapi sebenarnya hatinya dengar.

“Betul ke?”

Aku pun tak tahu tetapi kata-kata ibu kita adalah satu doa. Boleh jadi satu kebaikan yang datang dalam jiwa ini dek keberkatan doa ibu juga.  Amin ya Rabb.

Dan aku mula langkah kembali. Kali ini aku harap langkahnya lebih padu. Al-quran aku jadikan sandaran. Sunnah rasul aku jadikan ikutan dan ukhuwwah ini aku jadikan kekuatan. Dan janji syurga itu aku jadikan tekad. Semoga janji syurga ini bukan hanya terpateri dalam diri aku seorang tetapi puluhan malah jutaan orang lagi. Kerna syurga Allah terbuka luas untuk mereka yang bergelar hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Sungguh, syurga dan pertemuan denganNya, adalah satu cinta yang sangat aku percaya. Dan aku percaya satu cinta ini akan memaknakan cinta yang lain.

Dulu, aku tak tahu samada betul atau tidak Allah akan tunjukkan jalan kalau kita betul-betul ada niat nak jadi baik. Alhamdulillah sekarang aku percaya once kita betul-betul mahukan kebaikan, Allah pasti tunjukkan jalan. Salah satu jalan yang Dia anugerahkan pada hambaNya adalah dengan mempertemukan aku dengan ukhti dan kawan – kawan yang baik. Dan aku juga sedar perubahan bukan mudah, kita harus sentiasa jangan berputus asa daripada rahmatNya. Kehidupan belum berakhir di sini. Masih banyak lagi langkah yang perlu ditapaki. Aku tetap aku. Namun, rasa dan keadaan itu berbeza. Tidak sama seperti dahulu.

                                                                                            By Iman Imtinan : 10:15 Pagi (2014M/1435H)


 

i-Imtinan Copyright © 2014 Designed by Alieff Artwork