Thursday, 30 April 2015

KEDAMAIAN ITU DI SINI

KEDAMAIAN DI SINI…

 Bawa aku ke cahaya itu


Fuh!

Peperiksaan akhir semester tinggal beberapa hari lagi. Pagi itu, cahaya matahari menerangi dengan cahayanya yang garang, namun garang itu mendamaikan bumi yang gelap pada malamnya.
Tiupan angin selalu menenangkan penduduk bumi. Entah mengapa kali ini tidak bagi diri lelaki itu.

Tiada ketenangan. 

Keserabutan semata menyelubungi dirinya. Terasa gelap di mana-mana. Meski cahaya matahari menerobos setiap penjuru. Ada yang kurang. Jelas terasa dalam dirinya.

Cahaya dalam dirinya hilang. Cahaya itu entah ke mana-mana hilangnya . Pandangan hatinya terasa kosong dan kelam. Pohon besar di luar kamar itu ditatapnya hampir setiap hari.

Bukit-bukau dilihatnya. Dalam renungannya tapi tetapi tetap sahaja terasa kosong. Tidak memberi erti. Hatinya tak mampu menangis. Melihat dan cuma ingin pergi.

“Akh, jika engkau terasa down, apa yang engkau lakukan?”

Dia yang baru duduk dalam ruangan kelas itu memandang teman yang menuturkan soalan padanya.
Dia diam. Hakikatnya dia sendiri dalam keadaan himmah daniyah saat ini.

“Atau, akh penuh dengan motivasi dan susah untuk rasa down?”

Sesak jiwanya dengan anggapan itu. Dia bukan sekuat itu seperti anggappan temannya. Dia seperti yang lain. Memerlukan sokongan dan dukungan. Dia tidak memerlukan material. Dia perlukan sesuatu lebih dari itu. Kefahaman dan kasih sayang saat ini. Saat dia merasakan sangat jauh dengan impian dan cintanya.

Lantas teringat akan satu buku tulisan Muhammad Lili Nur Aulia.

Nafas-Nafas Ruhani.

Satu kata yang buat dia rasa dekat.

“Tak perlu jauh-jauh, rasakan kedamaian di sini.”

Dalam hati.

Kadang kala bila kita menghadapi sesuatu kesukaran, kita fikir kita akan pulih jika kita membawa diri atau memberi ruang lain pada diri.

Hakikatnya, kehidupan adalah tentang hati. Hati itu yang memberi makna kehidupan. Tak perlu jauh-jauh. Rawat hati yang sakit itu. Rawatlah hati yang terseksa dengan hambatan dunia ini.

Al-Quran.

Tuhan, bantu diri ini!

Tolong bimbing langkah yang bertambah pincang ini.

Diri ini mahu Tuhan di setiap sujud tahajudku.

Mahu cinta itu.

Cinta yang bertamu di setiap langkah kehidupanku.

Cinta untuk Tuhanku.

Kembalikan itu dalam hatiku.

Allah…
Allah…
Allah tujuanku

Air mata itu mengalir lagi. Sakit yang hanya Dia Maha Tahu.

Lelaki itu rindu

Terlalu rindu, akan rasa cinta yang hilang.

Tuhan, kembalikan rasa cinta itu.


Hanya untukMu.

Friday, 27 February 2015

Bengkel Penyediaan Kenyataan Media

Bismillah
 Jam 8 malam
 Penyampaian : Pak Cik Syed Ibrahim Syed Noh 

PENGENALAN

 1) Terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan dalam menyampaikan dakwah dan mesej untuk mencorak pandangan umum

 2) Antara alat paling penting dalam mencorakkan pandangan umum ialah melalui kenyataan media

 3) Namun masih banyak organisasi yang gagal memanfaatkan saluran media sebagai saluran perubahan 

Kemudian Pak Cik Ibrahim menanyakan pengharapan setiap peserta yang hadir 

PENGHARGAAN

 Aktiviti : Nyatakan apakah pengharapan anda terhadap bengkel ini? Apakah yang ingin anda pelajari daripada bengkel ini?

 OBJEKTIF BENGKEL

 1) Membimbing peserta bagi memahami, mengenalpasti, menganalisis dan menangani isu secara praktikal Kenalpasti masalah dan isu semasa setempat

 2) Mempunyai kemahiran menganalisis isu secara bersistematik

 Kenyataan Media

 1) - Apa itu kenyataan media? Siaran akhbar,kenyataan akhbar,siaran media, kenyataan akhbar atau siaran video dalam bentuk komunikasi bertulis 

2) - Ditujukan kepada siapa? Ditujukan kepada ahli-ahli media berita : untuk pengetahuan umum

3)- Apa tujuannya? Untuk mengumumkan sesuatu yang mempunyai nilai berita Mengapa perlu kenyataan/pendirian

SEBAB-SEBAB SKEMA
-pengumuman : Program , kajian, kempen, laporan,
-pendirian : berkongsi tentang sesuatu berita, peristiwa,insiden dll
-penonjolan : menonjolkan 'visibility' pemimpin
-peringatan/penegasan : mengingatkan orang ramai berkenaan organisasi dan aktiviti anda @ penonjolan organisasi , susuk organisasi

 SEBAB-SEBAB STRATEGIK

-Platform Massa dan terbuka
-Peka dan sensitif dengan isu semasa
-Memimpin Ummah dan Masyarakat
-Ada sikap dan pendirian dalam mencorak pandangan dan memimpin arus perdana
-Wawasan dan Misi perlu dijayakan dengan penglibatan ummah dan masyarakat
-Ruang mendidik, perkongsian dan permuafakatan

Friday, 20 February 2015

untukMu aku bertahan

PROLOG "Apa makna kebahagiaan buat kamu?" Dia menoleh, memandang gadis itu. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut tudung yang dipakainya. Kawasan padang pada petang itu sungguh menenangkan. Pertanyaan itu mudah tapi hatinya sukar untuk menebak jawapan terbaik. Gadis buta yang bahagia di sebelahnya di tatap lama. "Aku cemburu pada bahagia di wajah itu." Gadis itu berkata dalam hati. Tatkala aku sedari kehidupanku tidak seperti yang lainnya, aku tekad aku perlu kuat. Tak mahu membandingkan dengan orang lain. Takut aku akan bertambah kecewa. "Adakah hanya kerna engkau mempunyai abang yang istimewa membuat dirimu tidak menikmati kehidupan selayaknya?" Bersambung...

Friday, 9 January 2015

Da'ie Tak Sempurna




Semester ini begitu mengujakan dan menakutkan hampir untuk setiap hari. Dia rasa tidak betah lagi, rasa hati ingin dan mahu pergi. Tangannya melihat tugasan kuliah yang hampir siap namun belum siap sepenuhnya. Dia mahu siapkan dengan penuh kefahaman. Tetapi dia tak mampu kerana dia tak faham.

Dia terus memaksa diri namun tak bisa. Hatinya menangis. Bagaimana mungkin dia boleh menyiapkan tugasan itu tanpa kefahaman terhadap isinya. Jam sudah menunjukkan tepat jam 2 petang. Sepatutnya dia menghantar tugasan itu sekarang di pejabat pensyarahnya. Bunyi signal wassup yang masuk tak dipedulikan. Tanganya pantas menyemak nota pelajaran dan kamus beberapa kali.

Jam sudah menunjukkan jam 2.30 petang. Dia kelelahan. Tetap hati terus menangis kerana merasakan amat mustahil untuk menyiapkan tugasan itu. Khilaf dirinya juga yang tak cakna untuk menyiapkan lebih awal. Pantas dia menyusun buku-buku dan helaian kertas yang berselerakan. Umpama perasaannya yang berselerak saat itu juga.

Dalam hatinya berdetak untuk meninggalkan semua selepas ini. Ingin berhenti. Tak mahu lagi berpatisipasi dengan apa-apa lagi. Dakwah dan tarbiyyah ...tak mahu lagi.

Arghh!!!

Serba salah dan berperang. Tekad. MAHU berhenti. Kakinya pantas meninggalkan ruangan kamar menuju ke fakulti dengan seribu satu rasa.

Dari jauh kelihatan ramai yang sudah beratur dari luar pejabat. Pensyarah memeriksa latihan yang diberi setiap seorang pelajarnya.

Gulp!

Dia menelan air liur. Bimbang tatkala menyedari dia belum lagi menyiapkan tugasan itu seratus peratus. Ada yang berkumpul di luar dan salin menyalin jawapan antara satu sama lain.

Hatinya kalut namun tak ingin melakukan sedemikian. Itu prinsipnya. Tak boleh meniru meski hanya untuk tugasan kuliah. Dia tidak mahu merobohkan apa yang diyakini sejak dahulu lagi. Sementara menunggu yang lain, kakinya melangkah ke satu sudut.

Bersendirian.

Terus berusaha menyiapkan tugasan itu. Tidak dipedulikan yang lain. Tetapi gagal kerana soalan yang dia tak mampu jawab itu dia belum memahami dengan baik. Ulangkaji untuk topik itu juga belum. Dia menutup kamus yang dipegangnya.

Dia sudah tak larat lagi untuk memikirkan. Lantas dipaksa kakinya untuk terus menghantar kepada pensyarahnya. Dia menapak masuk pejabat yang sederhana luas dan kelihatan beberapa pelajar lagi sedang menunggu giliran. Dia memerhatikan dari dekat. Pensyarahnya tekun menanda dan memeriksa. Hatinya takut. Tidak! Dia perlu menyiapkan tugasan itu. MESTI!

Dia duduk di luar pejabat. Berperang dengan perasaan untuk meniru jawapan daripada pelajar yang lain atau tidak. Lantas dia meminta kertas kawan sekelasnya yang sudah ditanda oleh pensyarah dengan niat mahu melihat jawapannya. Dia melihat satu persatu.

"Kalau tidak siap, tak mengapa. Tunjuk sahaja yang mana dah disiapkan."

Tenang suara itu memberitahu.

Dia terdiam.

Ruangan luar pejabat makin sunyi. Semua sudah menunggu dalam pejabat. Hanya dia masih bungkam di luar. Sendirian. Dia tunduk kemudian mendongakkan kepala. Mencari kekuatan.

Akhirnya mengambil keputusan. Ya, dia akan hantar yang mana dah berjaya dia siapkan sahaja.

Kelihatan pelajar daripada kelas subjek yang lain juga sudah menunggu. Pasti hari ini, hari penandaan tugasan subjek. Kalau tidak masakan seramai ini beratur di ruangan pejabat.

Dia masuk dengan rasa yang sukar ditebak.

"Adeh..tenanglah duhai hati!"

Dia beratur di belakang pelajar itu. Bukan sama jantina dengannya.

Tinggal mereka berdua saja pelajar subjek itu yang ada. Pelajar yang lain semua merupakan pelajar pensyarah cuma subjek yang berbeza.

"Ustaz nak semak siapa dahulu ni?"

Ustaz bertanya apabila melihat mereka berdua sahaja yang tinggal untuk semakan subjek bahasa.

Lelaki itu menunjukkan arah pada gadis itu. Dia terkesima kerana hakikatnya dia yang terakhir menunggu untuk semakan subjek itu.

"Apa tunjuk pada dia.Ustaz nak semak awak dahulu."

Ustaz mengambil kertas lelaki itu.

Kata-kata ustaz membuat dia tersenyum. Itulah dia pensyarah yang dia kenal.

Ustaz kelihatan serius menanda.

"Awak kena usaha lebih lagi ni."

Dia cuma memerhati dan mendengar butiran kata-kata Ustaz buat lelaki itu. Namun hatinya berdetak kencang. Risau tentang penerimaan ustaz terhadap tugasannya.

Beberapa pelajar bagi subjek lain menapaki ruangan itu.

"Ya ukhti."

Ustaz  memanggil dia.

Dia tersenyum. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Pantas tangan menghulurkan kumpulan tugasan yang berjaya disiapkan. Berhati-hati dia meletakkan atas meja pejabat. Dia berdiri. Tak mahu duduk meski ada dua kerusi yang disediakn

Ustaz melihat kemudian anehnya tatkala Ustaz tidak mengambil tugasannya untuk diperiksa. Tangannya ligat memeriksa borang yang lain.

"Peperiksaan pertengahan awak baik."

Dia terdiam. Tiba-tiba sahaja Ustaz berkata tentang peperiksaan pertengahan semester yang sudah berlalu.

Pantas tangan Ustaz menulis markah untuk tugasannya dalam satu kertas lain sedangkan Ustaz belum lagi melihat hasil tugasan itu. Dia melihat aturan markah yang berderet tapi dia tak berminat ingin tahu empunya markah. Di sebelah namanya, Ustaz mencatat markah. Dia tak melihat catatan markah itu. TAKUT!

"Ustaz yakin pada awak."

Dia tergamam melihat Ustaz. Dalam makna kata-kata itu baginya.

Kawan-kawan lain tercengang. Masakan tidak. Kertas dia satu-satunya terkecuali daripada semakan Ustza. Pelajar sebelum ini tidak terlepas satupun daripada pemeriksaan Ustaz.

Dia menapak keluar. Di kawasan tangga , dia terduduk. Menangis dan mengerti bahawa Allah sedang memujuknya. Kertas tugasan itu dipegang erat.

"Aku tak akan berhenti. Aku akan terus berada atas jalan ini!"

Hatinya berteriak kuat seakan-akan mahu pecah.

Kebanyakan kawannya tidak masuk kelas petang itu. Mahu menghantar tugasan. Dia menggeleng-geleng kepala kerana menyangka dia yang paling lewat menghantar tugasan. Terbayang kelam-kabutnya dia sepanjang waktu tadi.

Malam itu, dia mimpi bertemu arwah neneknya. Gambaran dalam mimpi seperti di hospital sewaktu nenek sakit.

Nenek menyentuh pipinya. Dia terasa ingin menangis. Rindukan neneknya.

"Bertenanglah..."

Ringkas ucapan itu.

 Seketika dia tersedar daripada mimpinya.

Seakan-akan terasa sentuhan nenek di pipinya. Air matanya mengalir.  Sebelum nenek meninggal, nenek ada terkena strok dan membuatnya lumpuh dan tak boleh bercakap.

Mimpi tadi seakan-akan mengubat rindu pada nenek apabila mendengar nasihatnya meskipun bukan di alam realiti.

'Benar, aku perlu bertenang."

Dia monolog . Hening sekali awal pagi itu.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Ar-Ra’d 13:28)

Wahai diri, ingatilah Allah sebanyak-banyaknya.

Jalan warisan nabi ini, bukan hanya untuk mereka yang manja dan mudah mengalah. Jalan ini jalan mujahadah.

Dia teringat kata-kata seorang mak cik. Kadang-kala apabila orang bersama kita dahulu sudah tidak lagi bersama kita atas jalan ini sekarang , bukan kerana lemah imannya tetapi nak menunjukkan bahawa dugaan kehidupan ini sungguh mencabar.

Kalau sedikit sudah goyah bagaimana diri mampu menempuh halangan lebih besar.

"Allah, bantu aku!"

Dia memejam mata rapat-rapat. Mencari kedamaian. Dalam hati.

Dia ingin terus berada atas jalan ini. Jalan tarbiyyah dan dakwah. TAK MAHU berhenti...






 

i-Imtinan Copyright © 2014 Designed by Alieff Artwork